28 November 2013

Hujan dan ceritanya

Hujan turun lagi,
Deras, lebat, 
Dan anginnya kuat membelah waktu

Apa hujan dtg bawa berita?
Atau cerita duka yang dia simpan lama
Sepertinya kecewa yang dia bawa.

Kerana lebatnya ;
Seperti tanda yang dia sudah penat untuk bertahan lama. 

25 October 2013

Perjalanan Terakhir.

          Hari itu terasa sejuk sedang menggigit kulit-kulit saya. Pagi ini tidak begitu adil untuk saya, lewat bangun pagi. Terpaksa berebut untuk mandi dengan dua tiga teman serumah. Serta waktu yang tidak begitu memihak.

          Saya keluar rumah pada waktu yang agak lewat untuk seorang hamba kota yang sedang mengejar nikmat dunia. Pagi itu tidak seperti pagi-pagi biasa, angin sejuk, serta embun pagi seperti membantu untuk saya berpeluk tubuh.

          Cuaca pagi ini agak suram, mungkin disebabkan semalamam hujan turun dengan lebat. Musim sejuk bakal tiba dan saya masih belum bersedia. Saya lampirkan tubuh saya dengan baju sejuk dengan lambang Che Guevara, sambil menyapu habuk yang tak wujud. Tangan kiri saya masih setia memegang sebatang rokok yang baru dinyalakan. Angin meniup-niup asap rokok lalu naik tinggi ke awan. Saya memilih untuk tidak memakai sarung tangan, cukup baju sejuk dan dilampirkan dengan dua tiga t-shirt biasa.

          Saya tinggal di Dock Strett, berhadapan dengan John Fisher St. Saya tinggal di rumah apartment milik sahabat saya. Jiran saya adalah seorang lelaki Maghribi, yang datang ke London untuk mencari kerja. Dia sebetulnya sudah bosan untuk tinggal di Maghribi. Saya masih ingat kata-kata beliau semasa di tanya sebab dia berada di London, dia hanya menjawab ; saya orang Islam moden, tapi saya tidak sukakan Maghribi yang hidup dalam tradisional konservatif. Tapi beliau mempunyai rumah yang cantik, dengan ukiran inggeris lama.

          Saya berjalan kaki untuk ke Station Keretaapi Tower Hill. Saya melalui beberapa kedai penduduk tempatan, kebanyakannya adalah dari penduduk London. Di hujung jalan nanti saya akan melalui gerai Aunty Marry, dia wanita tua yang baik. Selalu hidangkan saya dengan kopi terbaik, saya selalu habiskan petang petang saya di sana.

          Saya berkerja sebagai seorang penulis di salah sebuah syarikat penerbitan di Stamford Brook, London. Hari-hari saya akan melalui perjalanan yang memakan masa selama 41 minit untuk kesana. Saya pernah sekali menaiki bas, tapi disebabkan sistem jalan yang tidak teratur di kota London serta kesibukan yang memuncak, saya mengambil keputusan untuk menaiki keretaapi bawah tanah.

          Saya sampai di Station Keretaapi Tower Hill, usai membeli tiket. Saya terus masuk nak menunggu keretapi tiba. Untuk membuang bosan, saya buka buku untuk di baca. Pengumuman daripada pihak Station Tower Hill kedengaran, saya tidak peduli dan masih kusyuk membaca. Dilihat dua tiga warga kota London sedang berpusu-pusu masuk untuk menunggu keretaapi seterusnya tiba.

          10 minit selepas itu keretaapi tiba, saya bangun dari kerusi dan terus masuk ke dalam badan keretaapi. Saya mengambil kerusi paling hujung. Dihadapan saya ada seorang tua, sedang memegang beg, di sebelahnya adalah seorang remaja yang seperti tidak terurus, dia sedang sibuk meneliti telefon bimbitnya tanpa menghiraukan sesiapa.

          Setelah hampir 20 minit perjalanan, keretaapi berhenti di Station Keretaapi Victoria. Kebanyakkan penumpang turun dan hanya sedikit sahaja yang naik, ruang keretaapi menjadi sedikit luas. Kerusi di hadapan saya kosong tapi sudah diduduki oleh seorang wanita berambut perang.

          Perasaan saya seperti tidak dapat menduga wanita ini, dia bukan seperti penumpang-penumpang biasa. Dia mengenakan skirt pendek paras lutut, sarung tangan panjang, serta kot labuh berwarna coklat. Rambut dibiarkan di tepi bahu, serta bulu matanya tidak begitu panjang, tapi masih bisa memukau. Dan apa yang membuat saya begitu tertarik dengan dia adalah dia membaca buku tulisan William Shakespeare.

          Kedatangan wanita ini sedikit lain, saya kesani yang pandangan mata saya melihat dia bukan kerana pakaian yang menutup tubuh atau bahagian mata yang menangkap sukma, tapi saya melihat dia dengan tatapan penuh cinta. Apa yang di bawanya sehingga saya mampu tergamam diam tika menatap wajah ayu wanita ini?

          Dia masih kusyuk membaca buku, cuma sesekali dia memandang saya, seperti menduga saya sedang perhatikan dia. Saya hanya tunduk, membuka buku tapi bukan untuk di baca, cuma mahu menutup kelakuan saya memandang dia.

          "Apa saja yang membuatkan kau menjadi gusar sahabat?" Dia bersuara di sebelah saya. Sedikit terkejut. Entah bila dia bangun dan duduk disebelah saya.

          Saya hanya diam, tidak berkata. Mahu menyimpan malu.

          "Jelas kau seperti kesunyian, begitu? Namaku Anna William." Dia menghulur tangan untuk bersalam.  Saya balas jabat tangan dia dengan sedikit teruja dan sekali lagi senyuman menjadi balasan untuk pertanyaan dia.

          "Apa yang membuatkan matamu memandang aku?" Dia bertanya, tak lelah walau senyuman yang saya balas.

          "Tiada apa, aku hanya memandang pemandangan di belakang kamu." Suara saya membalas dengan sedikit getar.

          Dia memandang tepat ke mata saya. Lalu lantas mengambil tangan saya, menggenggam. Tangan kanannya masuk di celah ketiak, memeluk kuat lengan saya. Kepalanya di letakkan di bahu saya. Saya tidak menolak perbuatan dia, malah saya seperti memberi kebenaran pada dia.

          "Aku tahu, pandangan matamu, sukma rasamu, serta getar jiwamu, ada sunyi yang sedang menyelubung dirimu." Suara dia menghapuskan keasyikan saya.

          "Bagaimana kau tahu?"

          "Melalui matamu, melalui tingkah lakumu,"

          Saya hanya diam, tidak membalas dengan sepatah kata. Seperti bahagia baru yang saya rasa. Dia masih setia duduk memeluk lengan saya. Masih setia bersandar kepala di bahu saya. Masih setia bermain dengan jari-jari saya.

          Keretaapi sampai di Station Stamford Brook. Seperti perpisahan yang saya tidak pinta. Saya bangun, menolak lembut tangan dia. Saya minta diri, dan kata ini adalah station terakhir saya. Saya perlu turun. Dia tidak membantah, cuma membalas dengan senyuman.

          Saya berjalan menuju ke pintu, tapi sebelum sempat saya keluar. Saya memanggil namanya ;

          "Anna!" Dia memandang, sedikit terkejut. Lalu saya menyambung bicara, "Boleh kita jumpa lagi?"

          Dia hanya tersenyum, tunduk menahan lucu. Lalu dia memandang saya, mengangguk tanda setuju.

07 September 2013

Persoalan.

Hujan turun sedikit lebat, ada embun yang jatuh  jadi lopak air. Ada rintik yang turun dengan harapan bahawa hujan ini bukan yang terakhir. Setelah hujan ambil alih, matahari dan bulan hanya duduk di balik awan. Bau bunga naik, singgah di ruang hidu saya. Ada sedikit rasa segar, seperti sedang berbaring di atas rumput basah.

Dalam hari hari yang begitu tenang, saya di asak dengan pelbagai soalan jiwa. Ada yang datang bertanya hanya mahu cuba untuk merasa, ada pula yang datang bertanya untuk cuba menyelesaikannya dan ada pula yang meminta agar saya turut sama merasa. Kata mereka ini cubaan tuhan, mereka bukan tak mampu. Tapi dah penat untuk mengadu.

Ada yang datang bertanya ;

adakah kamu pernah bosan dengan segelas kopi panas yang di adun dengan kesunyian atau adakah kamu bosan hanya duduk bertemankan buku dari tulisan orang orang yang menyedihkan?

Ada yang bertanya sedikit, tapi penuh tanda tanya ;

haruskah aku duduk di sini menunggu matahari hadir atau terus pergi ketika hujan masih lagi tidak mahu berhenti?

Persoalan persoalan ini membuat saya sedikit teruja untuk menjawab pada awalnya, tapi bila terlalu banyak di asak. Saya lebih suka untuk berdiam. Entah kenapa soalan soalan begini di tanya pada saya.

Soal hujan dan air mata adalah dua perkara yang berlainan. Hujan rintiknya berteman, sedangkan air mata turunnya sendirian. Begitu juga jiwa. Ini tidak adil untuk orang yang selalu bahagia, dan apabila kecewa datang bertandang. Mereka memilih untuk menyerah.

Saya bukan pakar tentang jiwa, apa lagi rasa. Saya hanya mahu menikmati setiap titis hujan yang turun kerana di setiap yang rintiknya punya cerita. Kalau dinikmati dinginnya hujan, mungkin pelangi adalah pemberian.

06 July 2013

Email Dari Kota Sejarah, Andalusia.

Hai kawan.

Lama sudah aku tak kunjung datang ke laman tulisan kau. Sudah tak dihias dengan bunga kata kata. Sudah bersawang dengan jiwa yang kecewa. Apa khabar kau di sana? Harap masih petah berkata kata. Masih gagah menjunjung bicara.

Maafkan aku, sudah lama tidak menyinggah membawa hati membaca setiap ucap kata yang kau simpan. Kepergian aku bukan sesuatu yang di rancang. Ia takdir Tuhan yang ditetap. Aku hanya mengikut tanda setia yang aku ini makhluk Dia.

Aku doakan kau sihat sejahtera. Semoga datang suatu masa. Kita ketemu berbual bicara. Moga sampai satu saat, kita tak lagi bicara soal kecewa.

Doakan aku. Sihat, dan masih bernyawa untuk membaca setiap coretan kau.

Salam kawan. 

---------------------------

*Sebetulnya aku sudah mahu berhenti menulis. Sudah penat menulis dengan rasa kecewa.

17 June 2013

Terasa Di Hati

Dia datang bertandang ke blog aku, dengan nama Aishah lalu bertanya.

"Kau tulis sebab hati kau kecewa atau hati orang lain yang kecewa?"

"Kedua duanya."

"Kau mesti ramai kawankan?"

"Tak, ada pun aku boleh bilang. Yang lain ni kawan ke?"

"Dah tu apa?" dia bertanya ringkas.

"Tanyalah mereka."

25 May 2013

Bintang Yang Kegelapan Ditemani Bulan Yang Terang.

          Mona bangun pagi, dengan rasa malas dan kasih sayang. Dia lawan jugak perasaan dia. Kalau dia tak lawan, dan dia layan. Tak kemana hajat yang dia pendam. Kalau dia simpan dan terus biar terbuku, sampai bila bila pun cerita hidup dia sampai macam itu saja.

          Dia ada simpan angan angan nak jadi artis, nak jadi macam Erra Fazira. Boleh pakai skirt sampai nampak paha, tak pun boleh pakai singlet bagi nampak buah dada. Hari ini dia kena mulakan dengan berlakon depan cermin dulu, nanti dia cuba jadi penulis skrip pulak. Dan sebelah malam adalah acara kemuncak, yang dia akan mempersembahkan lakonan dia.

          Dia bangun dari katil, terasa beban. Mungkin penat dengan persembahan lakonan semalam. Dia menuju ke tingkap. Dia hirup nafas dalam dalam, lalu mencapai kotak rokok yang terletak di hujung katil. Dia ambil dan nyalakan. Asapnya naik keudara. Hilang terus menuju ke tingkap.

          Di luar rumahnya sedikit bising. Ada orang berniaga. Ada orang sedang berjalan mencari sesuatu. Ada pak cik tua sedang menadah tangan meminta sedekah, dan ada kanak kanak yang sedang bermain di tepi lonkang. Lorang yang jijik, gelap, dan kotor, kata Mona dalam hati.

          Dia menuju ke meja, sambil membawa beberapa helai kertas. Dia tarik kerusi, dan duduk. Kedua tangannya menongkat dagu. Sambil termenung mencari inspirasi untuk menulis skrip skrip yang tertangguh. Malam ini adalah pementasan yang penting, datuk datuk, tan sri, mahupun ahli politik akan datang untuk melihat persembahan beliau. Dia kena siapakan skrip ini, dan berlatih berlakon hari ini jugak. Dia tekad.

          Dia ambil pen, dan mula menulis skrip. Dia mula dengan ayat yang sopan, pendek tapi padat. baru tulis dalam lima minit, dia dah berhenti. Duduk dan termenung. Dia rasa macam tak kena, dia koyak kertas dan ronyokkan. Dia ambil kertas lain dan buat yang baru.

          Kali ini dia cuba menulis ayat sedikit mengancam. Dia cuba tulis ayat yang kalau orang dengar, sudah cukup untuk buat yang mendengar itu jatuh hati. Dia seorang yang teliti, setiap baris kata yang dia tulis, dia akan pastikan penuh makna. Dia akan pastikan yang setiap apa yang dia tulis, ada pendengar yang akan seolah terpaku.

          Dia melihat jam, sudah pukul 2. Dia sepatutnya sudah mula berlakon di depan cermin. Dia sepatutnya dah berdiri dan cari keyakinan. Dia mahu jadi artis, tekad. Tidak dapat tidak. Dia tetap dengan keinginan dia. 

          Dia berdiri di hadapan cermin, dia lihat muka dia cantik. Bulu kening dia lentik. Bibir dia tebal tak ubah macam Angelina Jolie. Dada dia besar, lagi besar dari artis artis yang ada di Malaysia sekarang. Rambut, dia warnakan dengan merah jambu di hujung hujung rambut dan biarkan hitam di atasnya. Sekarang dia rasa yang dia boleh pergi jauh, sekarang dia rasa dia boleh kalahkan artis yang sedia ada.

          Dia mulakan latihan lakonan dia dengan sedikit pembukaan. Dia mulakan dengan berdiri tegak, tapi dalam perwatakan yang mengancam. Selepas itu dia mula bacakan skrip skrip yang dia tulis. Dia hayati setiap baris kata. Dia hayati setiap nada bacaan. Dia kena pastikan, yang dia tak tertinggal satu ayat untuk dia tunjukkan buat penonton malam ini.

         Dia terus berlatih, sehingga jam di dinding menunjukkan tepat pukul enam. Dia sudah perlu bersiap, kata dia dalam hati. Malam ini adalah penentuan bahawa dia akan bangkit dari kegelapan hidup yang dia hadapi selama ini.

         Dia sudah tak mahu hidup dalam kesedihan. Dia sudah kena bangkit. Tidak dapat tidak. Dia kena bangun, dan mulakan langkah. Dia kena bangun dan aturkan setiap saat adalah nilai hidup yang dia mahu ubah. Dia kena bangun dari lena yang panjang. Dia perlu bangun untuk tentukan bahawa pelangi selepas hujan itu wujud.

                                               -------------------------------------------

         Dia sudah bersiap di belakang tabir. Lampu limpah menerangi setiap ruang penonton. Ramai, dan semua adalah dari kalangan golongan golongan yang kaya raya. Dari golongan yang tidak pernah lekang dek wang.

         Dia hembus nafas turun naik, dia rasa degup jantung. Pantas, tapi dalam keadaan terkawal. Sedikit terkejut dengan jumlah penonton yang hadir. Dia lihat lihat bentuk badan di cermin, baju warna merah dengan polka dot warna putih, sedikit belahan di dada. Rambut di biarkan tanpa terikat.

         Mona sudah bersedia, semua skrip sudah dia hafal. Semua gerakan sudah dia letakkan di dalam kepala.

         Dia keluar pentas, dan mulakan lakonan dia. Dari tiang ke tiang. Setiap gerakan bernafsu. Lalu merangkak. Ada datuk yang sudah mula letak duit di celahan dada dia. Ada yang lagi berani, mahu mencium bibir merah Mona.

         Malam ini Mona jadi artis, macam impian yang dia selalu khabarkan. Hari ini Mona jadi bintang, bintang yang kegelepan. Tapi diterangi cahaya bulan. Dan sampai hujung masa nanti, dia akan kekal gelap. Tapi impian Mona tak pernah malap.

16 May 2013

Selamat Hari Guru Mak!

Pagi itu aku bangun awal, dalam pukul 5.30 aku dah bangun. Mengeliat badan, gosok mata, gosok celah kangkang. Mengeliat lagi, lepas tu aku termenung. Mamai. Macam macam aku fikir masa tu. Fikir macam mana makwe aku bangun pagi, mesti teruk nak mati.

Mak datang, pagi pagi dah bising. Katanya aku lambat. Aku tengok jam baru 5.30 pagi. Lambat celah mana ni. Celah gigi pun belum tentu sampai level lambat dia. Aku buat tak tahu, aku masih duduk termenung. Mak datang lagi, kali ini dengan muka garang.

Aku bangun, dengan rasa malas. Dengan rasa beban. Aku capai tuala.

Dalam bilik air. Aku termenung lagi. Dekat 15 minit aku termenung, mak jerit ; mandi apa lama lama dalam bilik air tu? Masa tu aku buat buat simbah air, nak bagi dengar bunyi air. Nak bagi dengar macam ada orang mandi. Tapi aku tak mandi lagi, Sejuk nak mati. Aku takut lepas aku mandi ni, aku tukar jadi ais.

Mak datang lagi, kali ini dia ketuk pintu. Macam nak runtuh. Masa tu baru aku mandi, ambil masa 5 minit je. Tapi sebab termenung itu yang jadi setengah jam.

Aku terus ke bilik, baju sekolah dah siap. Mak dah iron semalam. Aku ambil dan pakaikan. Seluar sekolah aku tak jumpa. Aku tanya mak. Dia kata ada dalam almari. Aku ambil dan sarungkan.

Keluar bilik, mak membebel lagi. Kali ni sebab aku tak sikat rambut.

Aku ni jenis tak sikat rambut. Aku suka biarkan rambut aku serabai, jadi macam tak tentu hala. Aku kata dekat mak aku ; buat apa nak sikat rambut, mak tengok A Samad Said tu berjaya jugak kalau tak sikat rambut pun. Kurt Kobain tu, dia popular jugak walaupun dia tak sikat rambut. Sikat rambut ni untuk orang yang tak menghargai erti kebebasan je. Rambut pun ada perasaan, dia pun nak rasa bebas.

Mak aku pandang, tajam. Kali ni aku dapat rasa macam sarapan pagi aku penampar.

-----------------------------------------------------

Aku dah siap makan, aku makan penampar dengan roti salut kuah kacang.

Mak ajak ke sekolah awal hari ni, dia semangat lebih. Sebab hari ni hari guru. Hari di mana satu tubuh dihargai.

Hari dimana mak akan terima banyak hadiah. Macam macam hadiah dari kedai 2 ringgit.

Hari di mana mak akan duduk di depan, dan nyanyikan lagu Guru Malaysia.

Dan apa yang bayangkan masa mak nyanyi lagu Guru Malaysia. Mak akan menyanyi macam seorang rokers yang tengah buat konsert dengan Amy Search.

Tapi walau macam mana pun. Mak tetap mak, guru di rumah. Guru di sekolah. Guru di hati anak anak. Guru di hati abah. Guru yang tak kenal erti lelah. Guru yang baik. Guru yang sentiasa tertawa dan membuat yang lain tertawa. Guru yang mengajar syukur itu adalah lebih baik dari sabar. Guru yang mengajar tajwid al quran. Guru yang sentiasa ingatkan perihal tuhan. Guru yang sentiasa mengajar kebenaran disebalik kebenaran.

Ya, mak adalah guru.

*Cerita di atas hanya sebuah rekaan. Tapi kesimpulanya adalah sebuah kebenaran.

09 April 2013

Sedih

Perkara paling menyedihkan tentang sedih ;
adalah bilamana kita perlu mencuba untuk tidak merasa sedih.

Kalau kamu tahu,
apabila sedih cuba menahan bibirnya,
dari tersenyum,
dari menangis,
dan dari berkata ;
'tiada apa, saya gembira, saya ok'

dan ketika itulah,
perkara paling menyedihkan tentang sedih.

30 March 2013

Anak Kecil

Anak kecil itu duduk sembunyi di balik pintu,
dilihat ibu terbaring di katil kayu,
ada urat urat tua sedang menadah tangan berdoa.
sambil linangan air mata turun menemani si ibu tua.

Anak itu tak arif,
dia tak memahami ;
tapi apa yang dia belajar.
linangan mata itu tanda pedih yang ibu tahan sudah lama.
dia juga pernah dengar ;
kalau ibu menangis,
tidak kerana cinta,
mesti kerana rindu.
tapi dia tak belajar ;
tentang air mata yang memedihkan.

Anak itu masih duduk sembunyi balik pintu,
sambil mata memerhati diruang kecil ibu yang sedang menahan pilu.
moga tuhan permudahkan ibumu,
dan moga tuhan persiapkan syurga buatmu.


02 March 2013

Sistem, Guru dan Mahasiwa

          Saya pernah menulis didalam salah sebuah buku keluaran Biji Press di mana saya mendefinisikan pendidikan itu adalah dalam konteks yang meluas bahawa pendidikan itu adalah memanusiakan anak anak manusia, dan jauh sekali untuk memandaikan anak anak manusia ini. Dalam konteks ini bahawa guru adalah satu tubuh manusia yang memainkan peranan yang penting dalam perjalanan untuk menjadikan anak anak manusia ini tahu bahawa pendidikan adalah mengajar kita untuk menjadi manusia yang memahami apa itu kemanusian.

          Tetapi di dalam konteks pendidikan pada zaman yang boleh dikatakan sebagai moden, telah wujud satu pemikiran yang dimana kerja guru adalah untuk memberi jawapan kepada persoalan yang diajukan dan bukannya memberi satu teori falsafah bahawa kenapa jawapan tersebut itu wujud. Contoh yang paling mudah adalah, di masa zaman persekolahan saya dahulu, saya sering di ajar bahawa 1 + 1 adalah 2, dan sering kali bilamana di tanya kenapa 2, tubuh guru ini akan menjawab bahawa sistem telah menetapkan bahawa 1 + 1 adalah 2. Persoalan teori atau falsafah yang cuba di bangkitkan di sini adalah kenapa 2? Disini kita boleh lihat bagaimana seorang guru hanya membataskan fikiran anak anak manusia hanya untuk berfikir melalui permasalahan yang telah di letakkan jawapannya. Bukannya permasalahan yang diberi idea idea baru, atau teori teori lama.

          Bahawasanya, telah wujud di dalam satu institusi pendidikan yang kecil bahawa pertanyaan kepada permasalahan yang telah di tetapkan jawapannya adalah satu perkara yang perlu diikut, dan dilarang sama sekali untuk mempersoalkan tentang kewujudan jawapan tersebut. Dan proses untuk memanusiakan anak anak kecil ini dengan teori teori atau falsafah falsafah yang telah lama wujud telah terhenti bilamana seorang guru melarang anak anak manusia ini untuk bertanya.

          Begitu juga ketika zaman universiti, di mana saya teringat seorang pensyarah yang mahukan anak anak mahasiswa atau mahasiswi ini mengikut apa yang telah dia gariskan atau apa yang telah wujud di dalam skrip jawapan beliau. Disini telah diletakkan satu dinding penghalang untuk anak anak mahasiswa dan mahasiswi ini untuk mengeluarkan idea idea baru, serta mengutarakan pendapat tentang wujudnya ketiadilan di dalam teori tersebut.

          Dinding penghalang ini telah sedikit sebanyak mengikis budaya 'critical thinking' yang sepatutnya perlu wujud di dalam setiap diri anak anak mahasiswa dan mahasiswi ini. Disebabkan ini maka, keluarlah satu produk dari dalam universiti anak anak mahasiswa dan mahasiswi yang hanya mengikut tanpa berfikir, dan hanya mendengar tanpa membantah. Dan disebabkan ini juga telah keluar satu produk yang tidak berdaya saing dalam memberi idea idea yang kritis dan diluar kotak.

          Perlu diingat bahawa anak anak mahasiswa dan mahasiswi adalah satu produk di mana yang dikatakan oleh ahli ahli politik yang lain sebagai peneraju masa hadapan, atau sebagai pemimpin masa hadapan. Jika ia terus di tetapkan untuk hanya mengikut tanpa di beri peluang untuk bertanya dan diletakkan satu dinding penghalang bahawa mereka dihalang dari memberi idea idea baru. Kita dapat lihat dalam beberapa tahun akan datang akan wujud satu sistem yang gagal dalam memdidikan anak anak manusia ini untuk di manusiakan.

          Selain daripada itu, peranan anak anak mahasiswa dan mahasiswi ini juga perlu di titik beratkan di dalam mendidik menjadi mahasiwa dan mahasiswi yang tidak terlalu terikut dengan sistem. Dalam erti kata lain, budaya ilmu yang telah wujud di mana mana universiti adalah telah dilekatkan di dalam minda mereka bahawa perlunya mengikut apa yang diajar oleh pensyarah. Ini perlu difahamkan oleh mahasiswa atau mahasiswi, bahawasanya ilmu adalah satu perkara yang universal, ini bermaksud bahawa ilmu adalah bersikap luas dan tidak terikat dengan sebatang tubuh yang mengajar. Mahasiwa dan mahasiswi sebagai anak anak manusia yang sedang dalam proses untuk dimanusiakan perlu bergerak sendiri untuk meluaskan lagi cabang cabang ilmu yang wujud. Seperti kata kata dari Mahatma Ghandi, "live as you were die tomorrow, learn as if you were live forever"

          Tambahan pula, universiti adalah satu tempat gedung ilmu yang melahirkan anak anak mahasiswa dan mahasiswi yang berdaya saing dari segi pemikiran mahupun dari segi kemahiran. Ia dapat dilihat peranan universiti pada zaman tahun 50 - 60 an' di mana Universiti Malaya mempunyai sudut debat untuk anak anak mahasiswa dan mahasiswi melontarkan idea. Tetapi peranan universiti pada zaman yang sepatutnya kita melihat bahawa perlunya pembukaan idea idea baru telah dihalang oleh tangan tangan penguasa. Universiti yang sepatutnya menjadi tempat untuk bertukar idea, telah menjadi satu tempat dimana perbincangan tentang idea idea baru telah diterhadkan hanya pada pembelajaran tentang subjek yang diambil dan bukannya tentang permasalahan permasalahan masyarakat atau pun perkara yang berkisar di dalam negara.

          Jika sistem ini terus ditekankan di mana mana universiti, bukan sahaja anak anak mahasiswa dan mahasiswi yang dikeluarkan tidak berkualiti, malahan universiti itu sendiri akan dipandang sebagai satu penjara pemikiran yang akhirnya akan merugikan negara. Maka benarlah dengan kata kata Benjamin Disraeli "a university should be a place of light, of liberty, and of learning"

          Apa yang saya dapat simpulkan disini adalah, guru adalah satu tubuh yang mengajar anak anak manusia bahawa kehidupan ini adalah berteraskan ilmu, dan dalam konsep kemanusian, ilmu itu perlu wujud untuk menjadikan anak anak manusia ini seorang manusia yang tidak terlalu terikat dengan sistem. Dan untuk mahasiswa dan mahasiswi, berdirilah di atas kaki sendiri, dan berlarilah mengejar kebebasan yang telah lama terikat oleh kekuasaan.


"Guru bukan Dewa dan selalu benar, dan murid bukan kerbau."
Soe Hok Gie (1942 - 1969)

15 February 2013

Luka

Hari ini cikgu masuk bab cinta, lepas dia baca kisah orang bunuh diri sebab cinta. Dia bagitahu kami yang bunuh cinta itu sendiri adalah orang yang pandai menghargai apa itu erti luka.

Aku buat tak dengar, buat bodoh dengan apa yang dia ceritakan. Dia membebel apa entah sampai buat otak aku melayang di awan, berfikir. Mungkin ada betulnya kata cikgu ini. Kita semua tak pernah belajar untuk menghargai luka, sebab kita hanya pandai menghargai cinta.

Sebenarnya, kalau betul kita faham apa itu hidup, kita mesti sudah faham apa itu sebenarnya luka, dan sebetulnya mereka yang faham luka. Akan lebih menghargai cinta.

Aku duduk bersandar, sambil tangan di kepala. Cikgu didepan, baju kurung hijau dan ada corak bunga orkid. Cantik, dan dia masih setia bercakap soal luka.

Sebenarnya, apa yang aku faham. Kita semua adalah orang yang terluka. Ya, kita semua adalah orang terluka.

Hari ini kita terluka tak dapat bangun pagi sambil hisap rokok Winston Light yang baru dibeli dari kedai mamak sebelah rumah.

Hari ini kita terluka tak dapat cium pipi ibu, dia mahu cepat pergi kerja.

Hari ini kita terluka, mungkin sebab hujan tak kunjung tiba, senja yang tak berwarna jingga. Dan bulan yang bersembunyi di sebalik awan.

Hari ini juga mungkin kita terluka, saat bangun pagi, kita tak dapat memeluk teman kita, sambil mencium bibir lembut warna merah jambu.

Dan mungkin hari ini kita terluka sebab cinta kita dibalas dengan luka, bukan seperti bahagia yang kita harapkan.

Sebenarnya, hari hari kita adalah manusia terluka. Ya, bukan sebab cinta, tapi sebab keadaan. Sebab lain yang buat hati kita rasa tidak puas.

Aku berdiri, bingkas bangun dari kerusi. Aku bagi tahu cikgu yang aku mahu ke tandas. Mahu buang air besar.

Dia angguk sahaja, sambil senyum.

Aku pandang dia, mata dia. Comel, cantik.

Dan apa yang aku bayangkan adalah dia pegang tangan aku, kami melompat riang menuju ke tandas sambil berbicara soal hati aku yang berbunga di sebabkan dia yang tersenyum manja.

Kerana senyum dia, buat luka aku pun berbunga.

24 January 2013

Cerita Hantu.

             Malam itu aku mesej seorang teman lama, aku kenal dia. Tapi dia tak kenal aku. Dia marah dengan aku, dia kata jangan kacau hidup aku bajingan. Tapi apa boleh buat, memang tiada sapa nak mesej aku malam tu. Nak tak nak dia jadi mangsa.

              Lepas dia marah marah, aku bagitahu dia. Yang aku ada simpan satu cerita hantu. Aku tanya dia nak dengar tak cerita aku? Dia kata, cerita sajalah.

              Aku tanya balik, dia nak dengar cerita hantu, atau cerita seorang perempuan yang buang jauh hati dia, atau cerita seorang lelaki yang bunuh diri sebab sekuntum bunga. Dia kata, how about all of them? Aku balas, ok.

              Malam itu pukul 3 pagi, aku terjaga dari tidur. Hantu tu datang, hulur tangan dekat aku. Dia kata, teman aku malam ni. Aku tak nak, tapi dia paksa sambil buat muka ayu. Aku setuju. Sedang tengah melepak, aku tanya dia mati sebab apa? Dia cakap dia mati sebab hati dia dah mati. Dia dah takda perasaan, takda jiwa. Dia dah tak nak rasa bahagia. Tapi dalam masa yang sama, dia tengah bercinta dengan seorang lelaki.

               Dia gadis cantik molek, muka macam Najwa Latif. Tapi lagi cantik dari Najwa Latif. Bila aku tanya dia, kenapa buang hati. Dia kata, dia tak nak lagi terikat. Dia tak nak lagi rasa apa apa. Dia langsung tak nak rasa hidup berdua. Bila aku tanya kenapa, dia cakap ada dua lelaki yang mahukan dia. Lelaki pertama memang dah milik hati dia, tapi lelaki kedua mahu milik hati dia. Tapi sebab dia ada simpan rasa dekat lelaki kedua. Sebab itu dia ambik keputusan, untuk buang jauh hati dia. Dan tinggalkan lelaki yang pertama. Dia tak nak rasa beban.

                Lepas dia buang jauh hati dia. Esoknya, lelaki pertama yang memang dah milik hati dia tu kecewa. Hidup tunggang langgang. Bila hari hujan, dia akan duduk bermandikan hujan. Dia dah tak betul, kalau dulu sebulan sekali hisap daun ganja. Tapi sejak perempuan tu buang jauh hati dia, dia hisap daun ganja seminggu sekali. Sampai satu hari, masa dia tak buat apa apa dan asyik duduk termenung. Dia tulis dekat papan putih sebelah katil dia, ‘aku dah hilang sekuntum bunga, tiada lagi yang mahu menerima’. Lepas dia tulis, dia bunuh diri. Terjun dari tingkat 10 rumah dia. Sebab tu orang kata dia bunuh diri demi sekuntum bunga.

                 Lepas aku dah habis cerita dekat dia macam mana aku jumpa hantu malam tu. Dia terus balas, kau ni bodohlah. Cakaplah yang semua ni satu cerita.

04 January 2013

Hujan

Hujan ini sebuah kisah.
tentang seorang gadis akan terpisah,
jiwa yang halus bakal terserlah,
saat dia menghadap rasa resah.

Hujan ini sebuah kisah,
tentang aku yang lama sudah terpisah,
jiwa ini sudah lama terserlah,
saat hujan mula berkisah.