15 February 2013

Luka

Hari ini cikgu masuk bab cinta, lepas dia baca kisah orang bunuh diri sebab cinta. Dia bagitahu kami yang bunuh cinta itu sendiri adalah orang yang pandai menghargai apa itu erti luka.

Aku buat tak dengar, buat bodoh dengan apa yang dia ceritakan. Dia membebel apa entah sampai buat otak aku melayang di awan, berfikir. Mungkin ada betulnya kata cikgu ini. Kita semua tak pernah belajar untuk menghargai luka, sebab kita hanya pandai menghargai cinta.

Sebenarnya, kalau betul kita faham apa itu hidup, kita mesti sudah faham apa itu sebenarnya luka, dan sebetulnya mereka yang faham luka. Akan lebih menghargai cinta.

Aku duduk bersandar, sambil tangan di kepala. Cikgu didepan, baju kurung hijau dan ada corak bunga orkid. Cantik, dan dia masih setia bercakap soal luka.

Sebenarnya, apa yang aku faham. Kita semua adalah orang yang terluka. Ya, kita semua adalah orang terluka.

Hari ini kita terluka tak dapat bangun pagi sambil hisap rokok Winston Light yang baru dibeli dari kedai mamak sebelah rumah.

Hari ini kita terluka tak dapat cium pipi ibu, dia mahu cepat pergi kerja.

Hari ini kita terluka, mungkin sebab hujan tak kunjung tiba, senja yang tak berwarna jingga. Dan bulan yang bersembunyi di sebalik awan.

Hari ini juga mungkin kita terluka, saat bangun pagi, kita tak dapat memeluk teman kita, sambil mencium bibir lembut warna merah jambu.

Dan mungkin hari ini kita terluka sebab cinta kita dibalas dengan luka, bukan seperti bahagia yang kita harapkan.

Sebenarnya, hari hari kita adalah manusia terluka. Ya, bukan sebab cinta, tapi sebab keadaan. Sebab lain yang buat hati kita rasa tidak puas.

Aku berdiri, bingkas bangun dari kerusi. Aku bagi tahu cikgu yang aku mahu ke tandas. Mahu buang air besar.

Dia angguk sahaja, sambil senyum.

Aku pandang dia, mata dia. Comel, cantik.

Dan apa yang aku bayangkan adalah dia pegang tangan aku, kami melompat riang menuju ke tandas sambil berbicara soal hati aku yang berbunga di sebabkan dia yang tersenyum manja.

Kerana senyum dia, buat luka aku pun berbunga.