02 March 2013

Sistem, Guru dan Mahasiwa

          Saya pernah menulis didalam salah sebuah buku keluaran Biji Press di mana saya mendefinisikan pendidikan itu adalah dalam konteks yang meluas bahawa pendidikan itu adalah memanusiakan anak anak manusia, dan jauh sekali untuk memandaikan anak anak manusia ini. Dalam konteks ini bahawa guru adalah satu tubuh manusia yang memainkan peranan yang penting dalam perjalanan untuk menjadikan anak anak manusia ini tahu bahawa pendidikan adalah mengajar kita untuk menjadi manusia yang memahami apa itu kemanusian.

          Tetapi di dalam konteks pendidikan pada zaman yang boleh dikatakan sebagai moden, telah wujud satu pemikiran yang dimana kerja guru adalah untuk memberi jawapan kepada persoalan yang diajukan dan bukannya memberi satu teori falsafah bahawa kenapa jawapan tersebut itu wujud. Contoh yang paling mudah adalah, di masa zaman persekolahan saya dahulu, saya sering di ajar bahawa 1 + 1 adalah 2, dan sering kali bilamana di tanya kenapa 2, tubuh guru ini akan menjawab bahawa sistem telah menetapkan bahawa 1 + 1 adalah 2. Persoalan teori atau falsafah yang cuba di bangkitkan di sini adalah kenapa 2? Disini kita boleh lihat bagaimana seorang guru hanya membataskan fikiran anak anak manusia hanya untuk berfikir melalui permasalahan yang telah di letakkan jawapannya. Bukannya permasalahan yang diberi idea idea baru, atau teori teori lama.

          Bahawasanya, telah wujud di dalam satu institusi pendidikan yang kecil bahawa pertanyaan kepada permasalahan yang telah di tetapkan jawapannya adalah satu perkara yang perlu diikut, dan dilarang sama sekali untuk mempersoalkan tentang kewujudan jawapan tersebut. Dan proses untuk memanusiakan anak anak kecil ini dengan teori teori atau falsafah falsafah yang telah lama wujud telah terhenti bilamana seorang guru melarang anak anak manusia ini untuk bertanya.

          Begitu juga ketika zaman universiti, di mana saya teringat seorang pensyarah yang mahukan anak anak mahasiswa atau mahasiswi ini mengikut apa yang telah dia gariskan atau apa yang telah wujud di dalam skrip jawapan beliau. Disini telah diletakkan satu dinding penghalang untuk anak anak mahasiswa dan mahasiswi ini untuk mengeluarkan idea idea baru, serta mengutarakan pendapat tentang wujudnya ketiadilan di dalam teori tersebut.

          Dinding penghalang ini telah sedikit sebanyak mengikis budaya 'critical thinking' yang sepatutnya perlu wujud di dalam setiap diri anak anak mahasiswa dan mahasiswi ini. Disebabkan ini maka, keluarlah satu produk dari dalam universiti anak anak mahasiswa dan mahasiswi yang hanya mengikut tanpa berfikir, dan hanya mendengar tanpa membantah. Dan disebabkan ini juga telah keluar satu produk yang tidak berdaya saing dalam memberi idea idea yang kritis dan diluar kotak.

          Perlu diingat bahawa anak anak mahasiswa dan mahasiswi adalah satu produk di mana yang dikatakan oleh ahli ahli politik yang lain sebagai peneraju masa hadapan, atau sebagai pemimpin masa hadapan. Jika ia terus di tetapkan untuk hanya mengikut tanpa di beri peluang untuk bertanya dan diletakkan satu dinding penghalang bahawa mereka dihalang dari memberi idea idea baru. Kita dapat lihat dalam beberapa tahun akan datang akan wujud satu sistem yang gagal dalam memdidikan anak anak manusia ini untuk di manusiakan.

          Selain daripada itu, peranan anak anak mahasiswa dan mahasiswi ini juga perlu di titik beratkan di dalam mendidik menjadi mahasiwa dan mahasiswi yang tidak terlalu terikut dengan sistem. Dalam erti kata lain, budaya ilmu yang telah wujud di mana mana universiti adalah telah dilekatkan di dalam minda mereka bahawa perlunya mengikut apa yang diajar oleh pensyarah. Ini perlu difahamkan oleh mahasiswa atau mahasiswi, bahawasanya ilmu adalah satu perkara yang universal, ini bermaksud bahawa ilmu adalah bersikap luas dan tidak terikat dengan sebatang tubuh yang mengajar. Mahasiwa dan mahasiswi sebagai anak anak manusia yang sedang dalam proses untuk dimanusiakan perlu bergerak sendiri untuk meluaskan lagi cabang cabang ilmu yang wujud. Seperti kata kata dari Mahatma Ghandi, "live as you were die tomorrow, learn as if you were live forever"

          Tambahan pula, universiti adalah satu tempat gedung ilmu yang melahirkan anak anak mahasiswa dan mahasiswi yang berdaya saing dari segi pemikiran mahupun dari segi kemahiran. Ia dapat dilihat peranan universiti pada zaman tahun 50 - 60 an' di mana Universiti Malaya mempunyai sudut debat untuk anak anak mahasiswa dan mahasiswi melontarkan idea. Tetapi peranan universiti pada zaman yang sepatutnya kita melihat bahawa perlunya pembukaan idea idea baru telah dihalang oleh tangan tangan penguasa. Universiti yang sepatutnya menjadi tempat untuk bertukar idea, telah menjadi satu tempat dimana perbincangan tentang idea idea baru telah diterhadkan hanya pada pembelajaran tentang subjek yang diambil dan bukannya tentang permasalahan permasalahan masyarakat atau pun perkara yang berkisar di dalam negara.

          Jika sistem ini terus ditekankan di mana mana universiti, bukan sahaja anak anak mahasiswa dan mahasiswi yang dikeluarkan tidak berkualiti, malahan universiti itu sendiri akan dipandang sebagai satu penjara pemikiran yang akhirnya akan merugikan negara. Maka benarlah dengan kata kata Benjamin Disraeli "a university should be a place of light, of liberty, and of learning"

          Apa yang saya dapat simpulkan disini adalah, guru adalah satu tubuh yang mengajar anak anak manusia bahawa kehidupan ini adalah berteraskan ilmu, dan dalam konsep kemanusian, ilmu itu perlu wujud untuk menjadikan anak anak manusia ini seorang manusia yang tidak terlalu terikat dengan sistem. Dan untuk mahasiswa dan mahasiswi, berdirilah di atas kaki sendiri, dan berlarilah mengejar kebebasan yang telah lama terikat oleh kekuasaan.


"Guru bukan Dewa dan selalu benar, dan murid bukan kerbau."
Soe Hok Gie (1942 - 1969)

No comments: