25 May 2013

Bintang Yang Kegelapan Ditemani Bulan Yang Terang.

          Mona bangun pagi, dengan rasa malas dan kasih sayang. Dia lawan jugak perasaan dia. Kalau dia tak lawan, dan dia layan. Tak kemana hajat yang dia pendam. Kalau dia simpan dan terus biar terbuku, sampai bila bila pun cerita hidup dia sampai macam itu saja.

          Dia ada simpan angan angan nak jadi artis, nak jadi macam Erra Fazira. Boleh pakai skirt sampai nampak paha, tak pun boleh pakai singlet bagi nampak buah dada. Hari ini dia kena mulakan dengan berlakon depan cermin dulu, nanti dia cuba jadi penulis skrip pulak. Dan sebelah malam adalah acara kemuncak, yang dia akan mempersembahkan lakonan dia.

          Dia bangun dari katil, terasa beban. Mungkin penat dengan persembahan lakonan semalam. Dia menuju ke tingkap. Dia hirup nafas dalam dalam, lalu mencapai kotak rokok yang terletak di hujung katil. Dia ambil dan nyalakan. Asapnya naik keudara. Hilang terus menuju ke tingkap.

          Di luar rumahnya sedikit bising. Ada orang berniaga. Ada orang sedang berjalan mencari sesuatu. Ada pak cik tua sedang menadah tangan meminta sedekah, dan ada kanak kanak yang sedang bermain di tepi lonkang. Lorang yang jijik, gelap, dan kotor, kata Mona dalam hati.

          Dia menuju ke meja, sambil membawa beberapa helai kertas. Dia tarik kerusi, dan duduk. Kedua tangannya menongkat dagu. Sambil termenung mencari inspirasi untuk menulis skrip skrip yang tertangguh. Malam ini adalah pementasan yang penting, datuk datuk, tan sri, mahupun ahli politik akan datang untuk melihat persembahan beliau. Dia kena siapakan skrip ini, dan berlatih berlakon hari ini jugak. Dia tekad.

          Dia ambil pen, dan mula menulis skrip. Dia mula dengan ayat yang sopan, pendek tapi padat. baru tulis dalam lima minit, dia dah berhenti. Duduk dan termenung. Dia rasa macam tak kena, dia koyak kertas dan ronyokkan. Dia ambil kertas lain dan buat yang baru.

          Kali ini dia cuba menulis ayat sedikit mengancam. Dia cuba tulis ayat yang kalau orang dengar, sudah cukup untuk buat yang mendengar itu jatuh hati. Dia seorang yang teliti, setiap baris kata yang dia tulis, dia akan pastikan penuh makna. Dia akan pastikan yang setiap apa yang dia tulis, ada pendengar yang akan seolah terpaku.

          Dia melihat jam, sudah pukul 2. Dia sepatutnya sudah mula berlakon di depan cermin. Dia sepatutnya dah berdiri dan cari keyakinan. Dia mahu jadi artis, tekad. Tidak dapat tidak. Dia tetap dengan keinginan dia. 

          Dia berdiri di hadapan cermin, dia lihat muka dia cantik. Bulu kening dia lentik. Bibir dia tebal tak ubah macam Angelina Jolie. Dada dia besar, lagi besar dari artis artis yang ada di Malaysia sekarang. Rambut, dia warnakan dengan merah jambu di hujung hujung rambut dan biarkan hitam di atasnya. Sekarang dia rasa yang dia boleh pergi jauh, sekarang dia rasa dia boleh kalahkan artis yang sedia ada.

          Dia mulakan latihan lakonan dia dengan sedikit pembukaan. Dia mulakan dengan berdiri tegak, tapi dalam perwatakan yang mengancam. Selepas itu dia mula bacakan skrip skrip yang dia tulis. Dia hayati setiap baris kata. Dia hayati setiap nada bacaan. Dia kena pastikan, yang dia tak tertinggal satu ayat untuk dia tunjukkan buat penonton malam ini.

         Dia terus berlatih, sehingga jam di dinding menunjukkan tepat pukul enam. Dia sudah perlu bersiap, kata dia dalam hati. Malam ini adalah penentuan bahawa dia akan bangkit dari kegelapan hidup yang dia hadapi selama ini.

         Dia sudah tak mahu hidup dalam kesedihan. Dia sudah kena bangkit. Tidak dapat tidak. Dia kena bangun, dan mulakan langkah. Dia kena bangun dan aturkan setiap saat adalah nilai hidup yang dia mahu ubah. Dia kena bangun dari lena yang panjang. Dia perlu bangun untuk tentukan bahawa pelangi selepas hujan itu wujud.

                                               -------------------------------------------

         Dia sudah bersiap di belakang tabir. Lampu limpah menerangi setiap ruang penonton. Ramai, dan semua adalah dari kalangan golongan golongan yang kaya raya. Dari golongan yang tidak pernah lekang dek wang.

         Dia hembus nafas turun naik, dia rasa degup jantung. Pantas, tapi dalam keadaan terkawal. Sedikit terkejut dengan jumlah penonton yang hadir. Dia lihat lihat bentuk badan di cermin, baju warna merah dengan polka dot warna putih, sedikit belahan di dada. Rambut di biarkan tanpa terikat.

         Mona sudah bersedia, semua skrip sudah dia hafal. Semua gerakan sudah dia letakkan di dalam kepala.

         Dia keluar pentas, dan mulakan lakonan dia. Dari tiang ke tiang. Setiap gerakan bernafsu. Lalu merangkak. Ada datuk yang sudah mula letak duit di celahan dada dia. Ada yang lagi berani, mahu mencium bibir merah Mona.

         Malam ini Mona jadi artis, macam impian yang dia selalu khabarkan. Hari ini Mona jadi bintang, bintang yang kegelepan. Tapi diterangi cahaya bulan. Dan sampai hujung masa nanti, dia akan kekal gelap. Tapi impian Mona tak pernah malap.

2 comments:

KonspiMaker said...

Mona pasti wujud dalam nyata.say hi to mona.

Wadi AR said...

mona mesti cun habiss