16 May 2013

Selamat Hari Guru Mak!

Pagi itu aku bangun awal, dalam pukul 5.30 aku dah bangun. Mengeliat badan, gosok mata, gosok celah kangkang. Mengeliat lagi, lepas tu aku termenung. Mamai. Macam macam aku fikir masa tu. Fikir macam mana makwe aku bangun pagi, mesti teruk nak mati.

Mak datang, pagi pagi dah bising. Katanya aku lambat. Aku tengok jam baru 5.30 pagi. Lambat celah mana ni. Celah gigi pun belum tentu sampai level lambat dia. Aku buat tak tahu, aku masih duduk termenung. Mak datang lagi, kali ini dengan muka garang.

Aku bangun, dengan rasa malas. Dengan rasa beban. Aku capai tuala.

Dalam bilik air. Aku termenung lagi. Dekat 15 minit aku termenung, mak jerit ; mandi apa lama lama dalam bilik air tu? Masa tu aku buat buat simbah air, nak bagi dengar bunyi air. Nak bagi dengar macam ada orang mandi. Tapi aku tak mandi lagi, Sejuk nak mati. Aku takut lepas aku mandi ni, aku tukar jadi ais.

Mak datang lagi, kali ini dia ketuk pintu. Macam nak runtuh. Masa tu baru aku mandi, ambil masa 5 minit je. Tapi sebab termenung itu yang jadi setengah jam.

Aku terus ke bilik, baju sekolah dah siap. Mak dah iron semalam. Aku ambil dan pakaikan. Seluar sekolah aku tak jumpa. Aku tanya mak. Dia kata ada dalam almari. Aku ambil dan sarungkan.

Keluar bilik, mak membebel lagi. Kali ni sebab aku tak sikat rambut.

Aku ni jenis tak sikat rambut. Aku suka biarkan rambut aku serabai, jadi macam tak tentu hala. Aku kata dekat mak aku ; buat apa nak sikat rambut, mak tengok A Samad Said tu berjaya jugak kalau tak sikat rambut pun. Kurt Kobain tu, dia popular jugak walaupun dia tak sikat rambut. Sikat rambut ni untuk orang yang tak menghargai erti kebebasan je. Rambut pun ada perasaan, dia pun nak rasa bebas.

Mak aku pandang, tajam. Kali ni aku dapat rasa macam sarapan pagi aku penampar.

-----------------------------------------------------

Aku dah siap makan, aku makan penampar dengan roti salut kuah kacang.

Mak ajak ke sekolah awal hari ni, dia semangat lebih. Sebab hari ni hari guru. Hari di mana satu tubuh dihargai.

Hari dimana mak akan terima banyak hadiah. Macam macam hadiah dari kedai 2 ringgit.

Hari di mana mak akan duduk di depan, dan nyanyikan lagu Guru Malaysia.

Dan apa yang bayangkan masa mak nyanyi lagu Guru Malaysia. Mak akan menyanyi macam seorang rokers yang tengah buat konsert dengan Amy Search.

Tapi walau macam mana pun. Mak tetap mak, guru di rumah. Guru di sekolah. Guru di hati anak anak. Guru di hati abah. Guru yang tak kenal erti lelah. Guru yang baik. Guru yang sentiasa tertawa dan membuat yang lain tertawa. Guru yang mengajar syukur itu adalah lebih baik dari sabar. Guru yang mengajar tajwid al quran. Guru yang sentiasa ingatkan perihal tuhan. Guru yang sentiasa mengajar kebenaran disebalik kebenaran.

Ya, mak adalah guru.

*Cerita di atas hanya sebuah rekaan. Tapi kesimpulanya adalah sebuah kebenaran.

1 comment:

Wadi AR said...

selamat hari guru juga