07 September 2013

Persoalan.

Hujan turun sedikit lebat, ada embun yang jatuh  jadi lopak air. Ada rintik yang turun dengan harapan bahawa hujan ini bukan yang terakhir. Setelah hujan ambil alih, matahari dan bulan hanya duduk di balik awan. Bau bunga naik, singgah di ruang hidu saya. Ada sedikit rasa segar, seperti sedang berbaring di atas rumput basah.

Dalam hari hari yang begitu tenang, saya di asak dengan pelbagai soalan jiwa. Ada yang datang bertanya hanya mahu cuba untuk merasa, ada pula yang datang bertanya untuk cuba menyelesaikannya dan ada pula yang meminta agar saya turut sama merasa. Kata mereka ini cubaan tuhan, mereka bukan tak mampu. Tapi dah penat untuk mengadu.

Ada yang datang bertanya ;

adakah kamu pernah bosan dengan segelas kopi panas yang di adun dengan kesunyian atau adakah kamu bosan hanya duduk bertemankan buku dari tulisan orang orang yang menyedihkan?

Ada yang bertanya sedikit, tapi penuh tanda tanya ;

haruskah aku duduk di sini menunggu matahari hadir atau terus pergi ketika hujan masih lagi tidak mahu berhenti?

Persoalan persoalan ini membuat saya sedikit teruja untuk menjawab pada awalnya, tapi bila terlalu banyak di asak. Saya lebih suka untuk berdiam. Entah kenapa soalan soalan begini di tanya pada saya.

Soal hujan dan air mata adalah dua perkara yang berlainan. Hujan rintiknya berteman, sedangkan air mata turunnya sendirian. Begitu juga jiwa. Ini tidak adil untuk orang yang selalu bahagia, dan apabila kecewa datang bertandang. Mereka memilih untuk menyerah.

Saya bukan pakar tentang jiwa, apa lagi rasa. Saya hanya mahu menikmati setiap titis hujan yang turun kerana di setiap yang rintiknya punya cerita. Kalau dinikmati dinginnya hujan, mungkin pelangi adalah pemberian.

1 comment:

Anonymous said...

Aiman. :)