25 October 2013

Perjalanan Terakhir.

          Hari itu terasa sejuk sedang menggigit kulit-kulit saya. Pagi ini tidak begitu adil untuk saya, lewat bangun pagi. Terpaksa berebut untuk mandi dengan dua tiga teman serumah. Serta waktu yang tidak begitu memihak.

          Saya keluar rumah pada waktu yang agak lewat untuk seorang hamba kota yang sedang mengejar nikmat dunia. Pagi itu tidak seperti pagi-pagi biasa, angin sejuk, serta embun pagi seperti membantu untuk saya berpeluk tubuh.

          Cuaca pagi ini agak suram, mungkin disebabkan semalamam hujan turun dengan lebat. Musim sejuk bakal tiba dan saya masih belum bersedia. Saya lampirkan tubuh saya dengan baju sejuk dengan lambang Che Guevara, sambil menyapu habuk yang tak wujud. Tangan kiri saya masih setia memegang sebatang rokok yang baru dinyalakan. Angin meniup-niup asap rokok lalu naik tinggi ke awan. Saya memilih untuk tidak memakai sarung tangan, cukup baju sejuk dan dilampirkan dengan dua tiga t-shirt biasa.

          Saya tinggal di Dock Strett, berhadapan dengan John Fisher St. Saya tinggal di rumah apartment milik sahabat saya. Jiran saya adalah seorang lelaki Maghribi, yang datang ke London untuk mencari kerja. Dia sebetulnya sudah bosan untuk tinggal di Maghribi. Saya masih ingat kata-kata beliau semasa di tanya sebab dia berada di London, dia hanya menjawab ; saya orang Islam moden, tapi saya tidak sukakan Maghribi yang hidup dalam tradisional konservatif. Tapi beliau mempunyai rumah yang cantik, dengan ukiran inggeris lama.

          Saya berjalan kaki untuk ke Station Keretaapi Tower Hill. Saya melalui beberapa kedai penduduk tempatan, kebanyakannya adalah dari penduduk London. Di hujung jalan nanti saya akan melalui gerai Aunty Marry, dia wanita tua yang baik. Selalu hidangkan saya dengan kopi terbaik, saya selalu habiskan petang petang saya di sana.

          Saya berkerja sebagai seorang penulis di salah sebuah syarikat penerbitan di Stamford Brook, London. Hari-hari saya akan melalui perjalanan yang memakan masa selama 41 minit untuk kesana. Saya pernah sekali menaiki bas, tapi disebabkan sistem jalan yang tidak teratur di kota London serta kesibukan yang memuncak, saya mengambil keputusan untuk menaiki keretaapi bawah tanah.

          Saya sampai di Station Keretaapi Tower Hill, usai membeli tiket. Saya terus masuk nak menunggu keretapi tiba. Untuk membuang bosan, saya buka buku untuk di baca. Pengumuman daripada pihak Station Tower Hill kedengaran, saya tidak peduli dan masih kusyuk membaca. Dilihat dua tiga warga kota London sedang berpusu-pusu masuk untuk menunggu keretaapi seterusnya tiba.

          10 minit selepas itu keretaapi tiba, saya bangun dari kerusi dan terus masuk ke dalam badan keretaapi. Saya mengambil kerusi paling hujung. Dihadapan saya ada seorang tua, sedang memegang beg, di sebelahnya adalah seorang remaja yang seperti tidak terurus, dia sedang sibuk meneliti telefon bimbitnya tanpa menghiraukan sesiapa.

          Setelah hampir 20 minit perjalanan, keretaapi berhenti di Station Keretaapi Victoria. Kebanyakkan penumpang turun dan hanya sedikit sahaja yang naik, ruang keretaapi menjadi sedikit luas. Kerusi di hadapan saya kosong tapi sudah diduduki oleh seorang wanita berambut perang.

          Perasaan saya seperti tidak dapat menduga wanita ini, dia bukan seperti penumpang-penumpang biasa. Dia mengenakan skirt pendek paras lutut, sarung tangan panjang, serta kot labuh berwarna coklat. Rambut dibiarkan di tepi bahu, serta bulu matanya tidak begitu panjang, tapi masih bisa memukau. Dan apa yang membuat saya begitu tertarik dengan dia adalah dia membaca buku tulisan William Shakespeare.

          Kedatangan wanita ini sedikit lain, saya kesani yang pandangan mata saya melihat dia bukan kerana pakaian yang menutup tubuh atau bahagian mata yang menangkap sukma, tapi saya melihat dia dengan tatapan penuh cinta. Apa yang di bawanya sehingga saya mampu tergamam diam tika menatap wajah ayu wanita ini?

          Dia masih kusyuk membaca buku, cuma sesekali dia memandang saya, seperti menduga saya sedang perhatikan dia. Saya hanya tunduk, membuka buku tapi bukan untuk di baca, cuma mahu menutup kelakuan saya memandang dia.

          "Apa saja yang membuatkan kau menjadi gusar sahabat?" Dia bersuara di sebelah saya. Sedikit terkejut. Entah bila dia bangun dan duduk disebelah saya.

          Saya hanya diam, tidak berkata. Mahu menyimpan malu.

          "Jelas kau seperti kesunyian, begitu? Namaku Anna William." Dia menghulur tangan untuk bersalam.  Saya balas jabat tangan dia dengan sedikit teruja dan sekali lagi senyuman menjadi balasan untuk pertanyaan dia.

          "Apa yang membuatkan matamu memandang aku?" Dia bertanya, tak lelah walau senyuman yang saya balas.

          "Tiada apa, aku hanya memandang pemandangan di belakang kamu." Suara saya membalas dengan sedikit getar.

          Dia memandang tepat ke mata saya. Lalu lantas mengambil tangan saya, menggenggam. Tangan kanannya masuk di celah ketiak, memeluk kuat lengan saya. Kepalanya di letakkan di bahu saya. Saya tidak menolak perbuatan dia, malah saya seperti memberi kebenaran pada dia.

          "Aku tahu, pandangan matamu, sukma rasamu, serta getar jiwamu, ada sunyi yang sedang menyelubung dirimu." Suara dia menghapuskan keasyikan saya.

          "Bagaimana kau tahu?"

          "Melalui matamu, melalui tingkah lakumu,"

          Saya hanya diam, tidak membalas dengan sepatah kata. Seperti bahagia baru yang saya rasa. Dia masih setia duduk memeluk lengan saya. Masih setia bersandar kepala di bahu saya. Masih setia bermain dengan jari-jari saya.

          Keretaapi sampai di Station Stamford Brook. Seperti perpisahan yang saya tidak pinta. Saya bangun, menolak lembut tangan dia. Saya minta diri, dan kata ini adalah station terakhir saya. Saya perlu turun. Dia tidak membantah, cuma membalas dengan senyuman.

          Saya berjalan menuju ke pintu, tapi sebelum sempat saya keluar. Saya memanggil namanya ;

          "Anna!" Dia memandang, sedikit terkejut. Lalu saya menyambung bicara, "Boleh kita jumpa lagi?"

          Dia hanya tersenyum, tunduk menahan lucu. Lalu dia memandang saya, mengangguk tanda setuju.