23 July 2014

Pertemuan Terakhir II

Tengku Amran tunduk berdoa di hujung lorong hospital, dia tak punya kekuatan untuk menghadapi saat genting sebegini. Dia hanya punya doa dan harapan. Itu senjata orang mukmin mereka kata, tapi di akhir hayat seorang isteri, sesungguhnya Tengku Amran mengharapkan keajaiban dari kerja tuhan. Dia hanya tunduk, beralaskan paha sambil dihati mengucap setiap patah doa untuk tuhan yang satu.

Malam ini Tengku Amran berdoa sungguh sungguh, di hujung lorong sunyi. Hanya dia dan tubuhnya sambil berteman bunyi dari sunyi malam itu. Isterinya masih di dalam bilik kecemasan, doktor sedang usahakan segala jenis kepakaran yang dia ada untuk menyelamatkan seorang yang Tengku Amran cinta.

Dia masih ingat, pagi tadi isterinya masih mampu tersenyum walau lewat malam sebelum itu dia muntah teruk. Pagi tadi seolah dia adalah perempuan paling kuat, perempuan yang dihidang duga yang besar tapi masih mampu memberi harap buat Tengku Amran untuk terus berdoa agar kesihatannya pulih. Pagi itu mereka masih mampu bermanja seolah itu hari pertama mereka bercinta. Umpama hari itu adalah hari yang paling bahagia buat mereka.

Dia juga ingat pagi itu, bagaimana isterinya masih melawan dengan duga tuhan yang besar. Dihadap dengan rasa sakit yang sangat, tapi isterinya masih kuat bertahan apabila Tengku Amran menyentuh lembut pipi isterinya dengan harap agar isterinya kuat bertahan.

Kenangan dia diganggu dengan bunyi pintu yang di buka, seorang jururawat keluar dari bilik kecemasan tapi tidak terus ke Tengku Amran, jururawat itu menuju ke kaunter pertanyaan.

Tengku Amran mengesat air mata yang mengalir, dia menahan sedu. Dia menahan agar tidak ditakdirkan isterinya diangkat ke langit, dan bertemu ilahi. Terlalu awal untuk isterinya mengadap takdir manusia yang paling pasti, iaitu kematian.

Lamunannya kembali menangkap setiap detik mereka bersama, Tengku Amran masih ingat masa waktu mereka di ijab kabul. Dua tahun yang lepas, bagaimana dia menunggu debar untuk ikat sebagai suami kepada wanita yang paling dia cinta. Ucap kabul pertama tidak diterima, kerana dia gugup dan juru nikah masa itu minta dia bertenang. Bagaimana Tengku Amran mahu bertenang apabila wanita yang paling dia cinta berada di depan, dan setiap kali mereka bertentang mata seolah ada gelora yang menunggu untuk ditenangkan. Dan gelora itu hanya boleh ditenangkan oleh isterinya, wanita yang dia cinta.

Kenangan itu adalah kenangan yang kekal selamanya, di benak fikir Tengku Amran. Kenangan itu seolah tiada yang lebih indah apabila melihat isteri yang dia cinta akan menjadi miliknya dalam hubungan yang sah. Ia seolah kenangan pertemuan pertama mereka, bagaimana Tengku Amran melihat isterinya duduk di hujung gerai. Menikmati makanan yang sederhana, sambil di hidang dengan buku buku yang berat. Di saat itu lagi hati Tengku Amran sudah tertangkap dengan peribadi isterinya, seolah isterinya mengajar wanita tidak baik untuk di ibaratkan hanya pagar isi rumah, ia lebih dari sebuah taman yang berbunga. Isterinya seolah mengajar Tengku Amran bahawa, wanita adalah lebih dari seorang perempuan, ia lebih dari maksud seorang manusia yang terkenal dengan lemah lembut.

Tengku Amran masih setia duduk termenung, sehingga bunyi pintu kali kedua kedengaran memberhentikan lamunan panjang. Seorang doktor dilihat keluar dari bilik kecemasan, sambil di iring seorang jururawat. Mereka berjalan menuju ke Tengku Amran, sebelum berhenti separuh jalan, sambil doktor itu berkata sesuatu kepada jururawat itu dan langsung terus ke Tengku Amran.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Selesai memandikan jenazah, isterinya di bawa ke kekuburan. Orang ramai hadir memberi penghormatan terakhir buat isterinya dan mereka juga memberi kata kata semangat buat Tengku Amran. Keluarga belah isterinya dilihat sedikit sayu, ada yang masih tidak mampu menahan sedih. Di sebelah keluarga Tengku Amran, mereka lebih dilihat memberi semangat buat Tengku Amran.

Jenazah selamat di kebumikan, orang ramai ada yang kembali pulang. Tapi tidak Tengku Amran, dia mahu duduk sebentar melihat tanah merah yang di bawahnya adalah seorang wanita yang dia cinta. Kali ini isterinya tidak selamat dari takdir tuhan, kanser yang menyerang isterinya merebak teruk di hati. Dan malam semalam adalah perlawanan terakhir isterinya dan kanser.

Tengku Amran redha, ini bukan tanda bahawa kisah cinta mereka berakhir dan cinta ini akan selalu abadi, walau takdir tak pasti, kerna dia percaya bahawa isterinya akan selalu dihati.

07 July 2014

Pertemuan Terakhir.

"Barang kamu dah siap?" Kata Ibu Aishah sambil melihat anaknya Tengku Amira sedang bersiap. Ada pilu di wajah tua ini.

Tengku Amira tidak menjawab, hanya memandang wajah ibunya. Dia sedang menyiapkan bagasi. Melipat dua tiga helai baju yang tinggal dan menyusun buku buku yang dia mahu bawa selama peninggalannya nanti. Lalu dia ambil beg kedua yang isinya adalah buku buku, dia ambil buku buku yang dia susun tadi dan letak di dalam beg. Buku buku ini penting, kalau dia tertinggal mungkin dia tidak dapat siapkan kertas kajiannya nanti.

Waktu pagi tiba lagi pada musim panas tahun ini, sejuk yang dirasa hingga ke tulang ini hanyalah sementara kerana pada jam 10 pagi nanti rasa bahang dari matahari akan menabur. Tengku Amira adalah anak tunggal yang kehilangan ayah 6 bulan yang lalu. Selepas kehilangan ayah, dia seolah manusia buta yang hilang tongkatnya. Seolah bayi yang baru berlatih untuk berjalan, kerana baginya ayah adalah segala.

"Semua barang sudah siap?" Ibu Aishah bersuara lagi. Kali ini kedengaran sayu di hujung suaranya. Mungkin dia tak relakan perpisahan di waktu waktu genting begini.

"Sudah Ibu, saya mahu periksa sekali lagi. Takut takut ada yang tinggal." Tengku Amira membelek beg kecil yang dia letak di sisi kerusi. Di dalamnya ada tiket penerbangan ke Istanbul, Turki. Dia membelek tarikh dan waktu perjalanan. Selepas puas dengan apa yang dia lihat. Dia bingkas bangun, melihat jam di dinding kayu.

"Mari nak, kita minum dahulu. Ibu ada siapkan sarapan untuk kamu. Kamu bertolak jam 10 bukan?" tanya Ibu Aishah  sambil memegang tangan anaknya keluar dari bilik.

"Ya bu." Jawab Tengku Amira sambil senyum memandang wajah tua ibunya.

Sejuk pagi dirasa hingga ke tangan anaknya, di pandang dengan rasa sayu dan hiba. Ini adalah perpisahan yang tidak sepatutnya berlaku di waktu waktu genting begini.

Ibu Aishah menghidangkan milo panas dan roti bakar. Suasana sunyi bertandang menemani mereka di meja makan, hanya kedengaran bunyi cawan yang berlaga dengan pinggan. Tengku Amira seolah mahu menikmati sarapan terakhir sebelum dia berangkat ke Istanbul, Turki meninggalkan ibunya seorang diri.

"Kenapa Turki?" Ibu Aishah mula bicara, memecah sunyi yang tadi bertandang di meja makan.

"Saya mahu tamatkan kertas kajian saya," Tengku Amira menjawab, sambil mulutnya di kunyah roti bakar yang di salut planta.

"Kenapa tidak disini?"

"Ibu, saya mahu cari pengalaman, mahu berbakti di bumi tuhan."

"Di sini juga kamu boleh berbakti atau sebenarnya kamu mahu lari?"

Tengku Amira tidak menjawab pertanyaan akhir Ibu Aishah, dia seolah tidak mahu berdebat. Ini adalah keputusan yang dia ambil. Tapi bagi Ibu Aishah, ini adalah perpisahan yang dia tidak relakan di waktu waktu dia memerlukan.

"Ibu katakan sesuatu boleh?" dia memegang hujung jari Tengku Amira, di pandang pada wajah anak yang dia bela dari kecil hingga dewasa.

Tengku Amira hanya angguk, sambil mata mereka bertemu.

"Ibu tahu, selepas perginya ayah. Kamu seperti hilang punca. Seperti hilang diri kamu. Kamu bukan lagi Tengku Amira yang ibu tatap setiap pagi, yang ceria tak di makan waktu. Tapi nak, bukankah kerja mencabut nyawa itu kerja tuhan. Apa kamu tidak redha?" Ibu Aishah menangis.

"Saya tidak lari ibu, dan saya juga tidak menidakkan kerja tuhan. Malah saya redha dan bersyukur atas pemergian ayah, bukankah syukur makhamnya lagi tinggi dari sabar? Saya cuma penat, dirundung kesedihan tentang masa silam. Masa silam telah membunuh sedikit sebanyak masa depan, saya penat." Jawab Tengku Amira sambil menahan sedu.

"Ibu izinkan kamu pergi tapi di sini juga kamu bisa hilangkan kisah silam nak, disini dengan ibu."

"Sabarlah ibu, saya pergi tidak lama. Usai kertas kajian sejarah saya, saya akan pulang. Tapi sekarang, biarlah saya mencari damai di tempat orang. Mungkin benar, ada sejarah yang kita perlu kenangkan dan ada sejarah yang baik kita tinggalkan." Jawab Tengku Amira sambil mengukir senyum di bibirnya.

Ibu Aishah tidak menyambung bicara, dia hanya tunduk menyapu air mata yang jatuh. Lalu dia memandang sambil tersenyum melihat anaknya. Mungkin ini senyum paksa yang Ibu Aishah buat. Mungkin juga senyuman yang dia tak relakan pemergian anaknya.

Bunyi hon kereta memecah sunyi di meja makan, Abang Rizal anak saudara Ibu Aishah telah sampai di hadapan pintu pagar. Dia akan membawa Tengku Amira ke lapangan terbang.

Tengku Amira berjalan ke luar dari rumah sambil di iring Ibu Aishah, sampai di kereta Abang Rizal menyambut beg yang di angkat Tengku Aishah dan memasukkannya di dalam perut kereta.

Tengku Amira memegang tangan Ibu Aishah kuat kuat, di lihatnya dengan puas muka tua itu sebelum berangkat. Ada air mata yang jatuh di saaat mereka memandang satu sama lain. Tengku Amira mencium tangan Ibu Aishah dan Ibu Aishah mencium dahi anaknya. Mereka berpelukan, buat kali terakhir.

"Halal kan apa yang kurang ibu, maafkan salah silap saya. Tunggu saya pulang. " Kata Tengku Amira sebelum dia masuk ke dalam perut kereta dan berangkat ke lapangan terbang.

Ibu Aishah tidak berkata sepatah, hanya melambai tangannya sebagai tanda selamat tinggal.

22 March 2014

Perempuan Muda Bermata Biru.

Jam di tangan menunjukkan pukul 9.00 malam, pulau ini sudah mula didatangi dengan angin angin sunyi yang meminta saya untuk menikmati. Saya berjalan seorang ke arah kedai kedai yang terletak di kaki lima.

Sampai di hujung jalan, saya mengambil keputusan untuk melalui jalan yang menuju ke pantai. Sedikit gelap, tapi di suluh oleh cerah bulan.

Sunyi bertandang, hanya dua tiga susuk yang saya nampak masih duduk di tepi pantai. Ada yang duduk sendirian, ada yang duduk berteman. Perjalanan saya di temani bunyi ombak yang datang membelah pantai, sambil bulan masih setia menemani perjalanan saya.

Saya mengambil keputusan untuk berhenti dan duduk minum di salah sebuah Bar Reggae,  suasana di dalam bar agak bingit di sebabkan bunyi bising. Tapi tidak di luar, saya hanya minum air coke dan dihidang dengan kacang. Saya memilih untuk duduk di meja yang mengadap pantai, kebetulan ketika itu hanya satu meja sahaja yang kosong.

Ketika saya melayan bunyi ombak dan melihat cerah bulan, saya di temani oleh seorang wanita luar. Peribadinya tidak seperti dia berasal dari pulau ini. Sambil membawa minuman keras, dia pinta untuk duduk bersama saya. Tiada masalah untuk seorang stranger duduk bersama saya, sekurang kurangnya saya punya teman untuk di ajak berbicara.

Dia letakkan minuman keras di hadapan saya sebelum dia menarik kerusi dan sebelum duduk di sempat membetulkan rambutnya yang jatuh menutup mata. Saya sedikit kekok, tapi dia seolah sudah terbiasa. Dari perwatakan dia seolah sudah terbiasa di sini.

Kami hanya tersenyum pada mulanya. Dia tidak banyak berkata, melainkan berbatang batang rokok yang bakarkan.

"Awak orang sini?" Saya berani melontar kata.

"Tidak, tapi saya tengah fikir untuk tinggal di sini." Dia membalas lembut, sambil tersenyum menghembus asap rokok.

"Apa yang buat awak untuk tinggal di sini?"

"Entah, tapi apa yang saya pasti. Saya rasa tenang, apabila saya bangun pagi dan membuka mata. Saya tidak dapat merasai sesuatu yang puas seperti saya dapat rasa di tempat di lain. Saya seolah sedang berada di taman di mana ketika itu tiada apa yang saya rasa melainkan ketenangan dan itu apa yang saya rasa ketika saya bangun dari tidur. Awak dapat rasakan?"

"Ya, saya dapat rasakan. Tapi awak tak rindukan kampung halaman?"

"Ibu saya pergi ketika saya masih kecil, saya masih anak. Langsung tidak memahami. Dan ketika umur saya mencecah 20 tahun, ayah pula pergi. Itu membuatkan hari hari saya kosong. Saya tidak setenang ketika saya di belai ayah waktu ibu pergi mengadap tuhan. Lalu saya memilih untuk berkelana. Ini sudah masuk tahun ke 8 saya berkelana."

"Maafkan saya," Saya berhenti berbicara, rasa bersalah di atas pertanyaan saya.

"Tak mengapa, sudah terlalu lama mereka pergi. Kadang kadang kalau rindu datang bertandang, saya akan melihat langit sambil mengharap mereka melihat saya." Dia tertawa kecil, lalu menyambung perbicaraannya "Apa yang membuat awak ke mari?"

"Saya tiada sebab seperti awak, cuma apa yang pasti saya juga mencari ketenangan." Saya menghirup air yang berada di hadapan saya, lalu menyambung. "Saya sudah lama mahukan sebuah percutian yang ada hanya saya dan alam. Mungkin kali ini adalah peluangnya. Ini adalah hari ke 40 saya berkelana, sebelum ini saya singgah di banyak tempat. Saya adalah satu prinsip yang saya pegang ketika berkelana iaitu saya tidak akan letakkan sebuah arah tuju perjalanan saya, kerana bagi saya orang yang meletakkan arah tuju bagi perjalanan dia adalah orang yang rugi kerana mereka tidak sempat untuk merasa keseronokkan yang tersedia ketika dalam perjalanan."

Dia hanya termenung mendengar syarahan saya, dan kadang kadang tersenyum. Mata birunya seolah berkata sesuatu. Tapi apa yang dia balas hanya sebuah senyuman. 

"Kenapa tersenyum? Saya banyak bercakap?" Saya bertanya bimbang, takut dia bosan.

"Tidak, awak terlalu ingin menjadi burung, terbang bebas. Tapi jangan terlalu bebas, dunia ini terlalu kejam." Balas perempuan muda yang bermata biru.

"Baiklah, saya ingat pesan awak. Ohh, sebelum lupa, nama saya Ali Cambell."

"Saya Maya Katrina, maaf tidak perkenalkan nama sebelum kita berbual bicara."

Kami berjabat tangan, sejuk kulitnya dapat dirasa oleh saya. Ketika jabat tangan diurai, dia sempat tersenyum lembut sambil rambutnya menutup kiri matanya.

Malam itu pantai menjadi saksi, bagaimana sebuah pertemuan di bina. Saya dan perempuan muda bermata biru. Saya tidak minta tuhan ketemukan saya dengan seorang stranger, tapi apa yang paling terkesan buat saya adalah bagaiman dia seorang perempuan muda bermata biru meneruskan hidup di negeri orang sambil membawa diri mahu menghilang rindu buat orang yang sudah pergi.