23 July 2014

Pertemuan Terakhir II

Tengku Amran tunduk berdoa di hujung lorong hospital, dia tak punya kekuatan untuk menghadapi saat genting sebegini. Dia hanya punya doa dan harapan. Itu senjata orang mukmin mereka kata, tapi di akhir hayat seorang isteri, sesungguhnya Tengku Amran mengharapkan keajaiban dari kerja tuhan. Dia hanya tunduk, beralaskan paha sambil dihati mengucap setiap patah doa untuk tuhan yang satu.

Malam ini Tengku Amran berdoa sungguh sungguh, di hujung lorong sunyi. Hanya dia dan tubuhnya sambil berteman bunyi dari sunyi malam itu. Isterinya masih di dalam bilik kecemasan, doktor sedang usahakan segala jenis kepakaran yang dia ada untuk menyelamatkan seorang yang Tengku Amran cinta.

Dia masih ingat, pagi tadi isterinya masih mampu tersenyum walau lewat malam sebelum itu dia muntah teruk. Pagi tadi seolah dia adalah perempuan paling kuat, perempuan yang dihidang duga yang besar tapi masih mampu memberi harap buat Tengku Amran untuk terus berdoa agar kesihatannya pulih. Pagi itu mereka masih mampu bermanja seolah itu hari pertama mereka bercinta. Umpama hari itu adalah hari yang paling bahagia buat mereka.

Dia juga ingat pagi itu, bagaimana isterinya masih melawan dengan duga tuhan yang besar. Dihadap dengan rasa sakit yang sangat, tapi isterinya masih kuat bertahan apabila Tengku Amran menyentuh lembut pipi isterinya dengan harap agar isterinya kuat bertahan.

Kenangan dia diganggu dengan bunyi pintu yang di buka, seorang jururawat keluar dari bilik kecemasan tapi tidak terus ke Tengku Amran, jururawat itu menuju ke kaunter pertanyaan.

Tengku Amran mengesat air mata yang mengalir, dia menahan sedu. Dia menahan agar tidak ditakdirkan isterinya diangkat ke langit, dan bertemu ilahi. Terlalu awal untuk isterinya mengadap takdir manusia yang paling pasti, iaitu kematian.

Lamunannya kembali menangkap setiap detik mereka bersama, Tengku Amran masih ingat masa waktu mereka di ijab kabul. Dua tahun yang lepas, bagaimana dia menunggu debar untuk ikat sebagai suami kepada wanita yang paling dia cinta. Ucap kabul pertama tidak diterima, kerana dia gugup dan juru nikah masa itu minta dia bertenang. Bagaimana Tengku Amran mahu bertenang apabila wanita yang paling dia cinta berada di depan, dan setiap kali mereka bertentang mata seolah ada gelora yang menunggu untuk ditenangkan. Dan gelora itu hanya boleh ditenangkan oleh isterinya, wanita yang dia cinta.

Kenangan itu adalah kenangan yang kekal selamanya, di benak fikir Tengku Amran. Kenangan itu seolah tiada yang lebih indah apabila melihat isteri yang dia cinta akan menjadi miliknya dalam hubungan yang sah. Ia seolah kenangan pertemuan pertama mereka, bagaimana Tengku Amran melihat isterinya duduk di hujung gerai. Menikmati makanan yang sederhana, sambil di hidang dengan buku buku yang berat. Di saat itu lagi hati Tengku Amran sudah tertangkap dengan peribadi isterinya, seolah isterinya mengajar wanita tidak baik untuk di ibaratkan hanya pagar isi rumah, ia lebih dari sebuah taman yang berbunga. Isterinya seolah mengajar Tengku Amran bahawa, wanita adalah lebih dari seorang perempuan, ia lebih dari maksud seorang manusia yang terkenal dengan lemah lembut.

Tengku Amran masih setia duduk termenung, sehingga bunyi pintu kali kedua kedengaran memberhentikan lamunan panjang. Seorang doktor dilihat keluar dari bilik kecemasan, sambil di iring seorang jururawat. Mereka berjalan menuju ke Tengku Amran, sebelum berhenti separuh jalan, sambil doktor itu berkata sesuatu kepada jururawat itu dan langsung terus ke Tengku Amran.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Selesai memandikan jenazah, isterinya di bawa ke kekuburan. Orang ramai hadir memberi penghormatan terakhir buat isterinya dan mereka juga memberi kata kata semangat buat Tengku Amran. Keluarga belah isterinya dilihat sedikit sayu, ada yang masih tidak mampu menahan sedih. Di sebelah keluarga Tengku Amran, mereka lebih dilihat memberi semangat buat Tengku Amran.

Jenazah selamat di kebumikan, orang ramai ada yang kembali pulang. Tapi tidak Tengku Amran, dia mahu duduk sebentar melihat tanah merah yang di bawahnya adalah seorang wanita yang dia cinta. Kali ini isterinya tidak selamat dari takdir tuhan, kanser yang menyerang isterinya merebak teruk di hati. Dan malam semalam adalah perlawanan terakhir isterinya dan kanser.

Tengku Amran redha, ini bukan tanda bahawa kisah cinta mereka berakhir dan cinta ini akan selalu abadi, walau takdir tak pasti, kerna dia percaya bahawa isterinya akan selalu dihati.

1 comment:

Anonymous said...

Macam mana hidup sekarang? Bahagia?